Pilih calon terbaik demi rakyatDARI kiri, Dr Zainal Kling, Dr Sivamurugan Pandian dan Nordin Kardi.
Ahli BN jadi wakil Bebas pentingkan diri berbanding parti

 Ahli parti komponen Barisan Nasional (BN) yang bertanding sebagai calon Bebas pada PRU-13 bukan saja mempunyai ego yang tinggi, tetapi tidak istiqamah dalam mendukung perjuangan parti. 
Mereka ini lebih mementingkan diri daripada parti, yang mempunyai objektif jauh lebih besar untuk kepentingan rakyat dan negara. 


Pemerhati politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Datuk Dr Zainal Kling, berpendapat tindakan pihak terbabit didorong perasan tidak puas hati dan hanya mementingkan diri, sedangkan matlamat yang harus diberi keutamaan ialah mengekalkan perpaduan serta keutuhan kuasa.

“Mereka juga boleh dianggap tidak sedar diri kerana sanggup bertindak sedemikian walaupun sudah diangkat ke suatu kedudukan yang baik oleh parti. 

“Parti tentu lebih arif dan sudah melakukan pertimbangan sewajarnya apabila tidak meletakkan mereka sebagai calon PRU-13, termasuk mengambil kira faktor penting seperti mereka kurang popular untuk mendapat sokongan pengundi.

“Bagaimanapun, tindakan golongan ini tidak akan merosakkan parti, sebaliknya hanya merugikan diri mereka dalam dunia politik. Ini adalah jalan buntu yang mereka pilih sendiri,” katanya kepada BH, semalam. 
Penamaan calon bagi PRU-13 di seluruh negara, semalam antara lain menyaksikan Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Kamilia Ibrahim, bertanding sebagai calon Bebas di Parlimen Kuala Kangsar.

Bekas Timbalan Menteri Pertanian, Datuk Seri Mohd Shariff Omar, turut menjadi calon Bebas di kerusi Parlimen Tasek Gelugor dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Dua.

Mesti utamakan parti

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian, berkata semua ahli sepatutnya meletakkan keutamaan parti mengatasi kepentingan atau kekecewaan peribadi.

“Memang dalam pilihan raya, kesetiaan ahli kepada parti akan diuji. Menjelang PRU-13, ahli harus bersama mendukung parti atas semangat perjuangan. Mereka yang tidak terpilih menjadi calon, sepatutnya memberikan lebih masa tanpa membuat keputusan beremosi,” katanya.

Sementara itu bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Tan Sri Dr Nordin Kardi, berkata pengundi harus bijak menilai bagi mengelakkan keterbukaan sistem demokrasi negara ini, yang membolehkan mana-mana rakyat berkelayakan menjadi calon pilihan raya, disalahgunakan oleh pihak yang hanya mempunyai kepentingan tertentu.