Selasa, 16 April 2013

Stop PRU13 jap...Ni pasal Bola Selangor ...

SHAH ALAM - Masih bernyawa. Selangor menghidupkan kembali sisa-sisa perjuangan ke suku akhir Piala AFC apabila menewaskan kelab Vietnam, Sai Gon Xuan Thanh 3-1 dalam saingan Kumpulan H di Stadium Shah Alam, semalam.
Kemenangan sulung yang dikecapi oleh Red Giants meletakkan mereka kini di tangga ketiga kumpulan dengan empat mata dan perlu menang dalam baki dua lagi perlawanan bertemu wakil India, East Bengal pada 23 April ini dan aksi terakhir menentang Tampines Rovers, 30 April.
Janji jurulatih Selangor, Irfan Bakti untuk menurunkan ramai pemain simpanan nampaknya hanya satu helah semata-mata apabila tonggak-tonggak utama seperti Asraruddin Putra Omar, Francis Forkey Doe dan Mohd. Amri Yahyah tetap diturunkan.
Red Giants telah menggegar seawal minit ke-10 apabila pemain import dari Slovakia, Michal Kubala melepaskan satu rembatan menarik melalui situasi sepakan percuma dari jarak 25 meter.
Penjaga gol, Sharbinee Allawee mempamerkan kecemerlangan tersendiri apabila menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya penyerang Sai Gon bagi memastikan babak pertama berakhir 1-0 memihak kepada tuan rumah.
Cengkaman Selangor semakin kukuh pada separuh masa kedua apabila Forkey Doe meledak jaringan kedua pada minit ke-62 hasil umpanan cantik daripada Amri berhampiran kotak penalti dan pemain antarabangsa Liberia itu berjaya melepaskan satu tendangan menarik melalui kaki kiri untuk menewaskan Bui Tan Trong.
Amri juga tidak ketinggalan meletakkan nama dalam senarai penjaring dengan satu gol yang dianggap paling menarik dalam perlawanan itu apabila melakukan satu percubaan sungkit memperdayakan Tan Trong pada minit ke-71.
Jaringan pada minit ke-80 oleh Moses Oloya sudah terlambat buat Sai Gon apabila ia tidak menghalang kemenangan Selangor di tempat sendiri.
Dalam satu lagi perlawanan, East Bengal kini hanya memerlukan satu sahaja lagi mata untuk melayakkan diri ke suku akhir apabila tidak menghadapi masalah menewaskan Tampines Rovers 2-1 sekali gus menyaksikan kelab Singapura hampir pasti tersingkir daripada saingan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan